Happy 4th Birthday Luqman


23.03.2015…Tarikh ni jam 2.45pm…4 tahun yang lalu, aku sedang terkeliru dengan diri sendiri. Aku dah jadi seorang ibu ke? Luqman lahir pada minggu ke 34. Pada masa tu aku belum bersedia secara mental. Semuanya terjadi dengan tiba-tiba dalam keadaan aku stress menahan sakit batu hempedu dan buah pinggang yang bengkak. 2 hari sebelum Luqman lahir iaitu 21.03.2011 sedang aku nyenyak tidur, terasa air panas mengalir laju. Aku bangun terpinga-pinga. Tak mungkin aku kencing kat tempat tidur dalam keadaan tak sedar! Aku kejut suami. Dia cakap air ni tak hancing pun. Tergamak jugak dia cium bau kain cadar tu hahahaha. Aku call mak. Mak suruh cepat pergi hospital. Air ketuban pecah awal! Aku terpaksa ambil kain batik yang tebal kepit kat celah paha sebab air tu banyak sangat! Sampai kat hospital, doktor check tapi tak ada bukaan pun. Jadi aku dimasukkan ke wad dulu. Katil no 10 dan ni kali ke 10 aku masuk wad! Air tu makin kurang keesokkan hari tu… Suami aku datang melawat 22.03.2011..dia cakap perut sayang nampak kecil lah. Huhuhu. Petang tu doktor datang check, tanya aku air tu masih keluar ke? Aku cakap dah berkurang. Doktor cakap bagus, maknanya lubang yang bocor tu dah mula mengecil dan akan tertutup. Jadi tak perlu risau. Aku call mak. Mak cakap biar betul doktor ni…Mak dah mula risau dan plan nak bawa aku keluar dari hospital dan bawa aku ke hospital swasta untuk check lebih lanjut. Mak betul-betul tak puas hati. Aku relax ja sebab aku tak tahu apa2 langsung. Bodoh betul aku masa tu.

23.03.2011 pukul 10 pagi doktor datang check lagi. Masa ni air dah tak keluar langsung, pad aku kering. Doktor cakap bagus, petang ni boleh balik. Sekejap lagi doktor akan buat surat discharge. Aku pun gembira dapat pulang.  Pukul 12 tengahari suami aku datang melawat. Aku rasa pening. Aku suruh dia beli milo sebab aku tak lalu nak makan nasi. Lepas minum milo aku suruh dia balik dulu sebab rasa macam surat lambat lagi nak siap. Petang nanti aku suruh dia datang semula. Elok je dia balik aku rasa nak pergi tandas. Masa aku bangun berdiri, tiba2 aku pitam dan jatuh terduduk. Nurse cepat2 papah aku letak kat katil. Nurse cakap Ya Allah panasnya badan adik!! Nurse check suhu, 40d.c. Doktor pakar datang, check bukaan, still tak buka apa2. Kemudian check bacaan oksigen aku, rendah kot. Sebab dorang pakaikan aku oksigen. Dorang tukar baju aku,pakaikan tiub kencing. Masa tu aku dah tak berdaya dan tak terfikir apa2. aku jadi macam orang bodoh. Aku tanya, nak buat apa ni?? Doktor cakap oh lupa! Nak bawa awak buat pembedahan. Awak dah nak bersalin, anak awak dah lemas ye. Aku macam nak menjerit meraung masa tu. Aku minta nak call suami aku. Dorang tak bagi. Nanti doktor akan call dia cakap. Puas jugak aku bertengkar bagi tau suami aku baru saja keluar dari pintu wad ni. Nak je aku bangun kejar laki aku. Tapi doktor cakap nyawa anak awak sekarang dalam bahaya. Terus aku slow down. Satu lagi masalah pulak, cari urat darah tak jumpa nak letak jarum drip kat aku. Sebab dah banyak kali dicucuk, urat semua bengkak. Akhirnya dicucuk kat nadi, sakit gila lah. Tapi still masa tu aku rasa macam berada di awangan, dalam mimpi yang aku akan beranak. Tahu tak sebanrnya aku belum set dalam otak aku so aku memang tak bersedia lah sebenarnya. Barang baby pun belum beli habis lagi. Yang ada masa tu pampers dan baju sikit. Aku asyik duduk wad je mana ada masa nak shopping barang baby.

Tepat jam 2.45pm lahirlah Muhammad Luqman Wafi melalui pembedahan dengan berat 2.1kg. Aku dengar doktor cakap yeahh dah keluar. Terus aku tanya lelaki ke perempuan anak saya?? Doktor tu boleh cakap, kalut lah dia dengan jantina, orang nak pastikan hidup ke tak dulu ye.. Aku dengar baby menangis. Terus aku ucap Alhamdulillah aku aku hidup. Terus misi tu tunjuk bird dia kat aku, aku cakap anak saya boy la misi…Assalamualaikum anak mama..aku cium dia. Masa ni baru aku menangis tersedu sedu. Macam baru sedar dari kena pukau. Baru aku tahu aku dah jadi ibu..Muka dia besar cawan je masa tu. Kecik kenit. Misi tu berlari bawa dia ke NICU. Sebab score dia tak berapa bagus. Lemas sikit. Congenital Pneumonia iaitu ada kuman kat paru paru dia. Lepas keluar dari dewan bedah aku nampak suami,mak, adik & kakak aku kat tempat menunggu. Semua muka sembab dan bengkak. Menangis sebab tak tahu lagi nasib anak aku. Aku cakap Alhamdulillah semua selamat. Aku suruh suami ke NICU tengok baby dan azankan dia. Suami ambil gambar kat bawah ni tunjuk kat aku, ni anak kita…tapi sayang jangan risau, doktor cakap dia ok. Aku menangis masa tu. Rasa tak sabar nak pergi peluk Luqman. Suami aku cium dahi aku dan cakap, terima kasih sayang atas pengorbanan sayang lahirkan anak kita. Sebaknya masa tu Allah je yang tahu. Suami aku cakap dia menangis masa azankan Luqman. First time jadi bapa. Ada perasaan yang menusuk dalam hati dia, tambah pula dengan peritnya aku mengandungkan Luqman dan wad menjadi rumah kedua. Suami aku pun tidur di lantai wad untuk teman aku. Thanks Abang for everything.

Luqman semasa dalam NICU

Luqman semasa dalam NICU. Ni gambar pertama beliau. hihihi.

Pertama kali peluk dan susukan Luqman

Pertama kali peluk dan susukan Luqman

Bahagia yang teramat menjadi seorang ibu...

Bahagia yang teramat menjadi seorang ibu…

Luqman ialah cinta hati papa...

Luqman ialah cinta hati papa…

Luqman dah besar lah sayang....

Luqman dah besar lah sayang….

Trademark Luqman, rambut cendawan...

Trademark Luqman, rambut cendawan…

Makin besar makin lasak...

Makin besar makin lasak…

Dah pandai mengorat anak dara orang

Dah pandai mengorat anak dara orang

Betapa aku sayang Luqman ni sejak hari pertama aku tahu dia dalam rahim aku, sampai lah bila-bila pun aku sayang dia. Aku sanggup gadai nyawa untuk dia. Masa aku sakit batu hempedu dan buah pinggang bengkak dulu pun, setiap kali doktor nak bagi rawatan dan ubat, aku akan tanya ubat ni memudaratkan anak saya tak?? kalau memudaratkan aku rela sakit atau mati pun. Sungguh aku sanggup. Masa 7 bulan mengandung aku sakit sampai aku meraung genggam besi katil. Doktor cakap nak bedah aku sebab takut appendic pecah dan bahayakan nyawa aku dan baby. Aku cakap, doktor boleh buat apa saja untuk selamatkan baby saya. Jangan fikir nyawa saya, buat lah apa saja untuk baby saya. Nak buat post moterm pun buat lah. Doktor cakap Puan jangan merepek tau..kami akan buat yang terbaik. Merepek hang cakap, aku rasa nyawa dah nak habis ni. Mengucap dan ingat Allah je aku mampu masa tu. Alhamdulillah kami berdua selamat dalam pembedahan tu. Kuat kan Luqman mama ni?? Walaupun badan dia kecil tapi semangat dia kuat. Luqman memang anak yang hebat!

Ya Allah cepat sungguh masa berlalu, semua kekalutan,kesakitan yang bercampur baur dengan sedih dan gembira dah pun empat tahun berlalu… Aku bersyukur dengan kehadiran Luqman dalam hidup aku. You changed my world as soon as you entered in. Banyak sangat benda yang dia ajar aku. Tak terluah dengan perkataan.

Anakku Muhammad Luqman Wafi, Selamat hari lahir yang keempat tahun. Mama berdoa dan akan berusaha untuk menjadikan Luqman seorang hafiz yang menghafal Al Quran, seorang imam di dalam keluarga kita dan mampu membimbing kami semua ke arah jalan yang diredhaiNya. Mama tak mampu hadiahkan kemewahan serta hadiah yang hebat-hebat untuk Luqman. Mama tak mampu adakan jamuan besar besaran..Kalau mama mampu, segalanya mama dah beri padamu duhai anak. Hanya doa sahaja benda paling mahal mama mampu hadiah wahai anakku Luqman. Mama tahu Luqman teringin nak kereta yang guna bateri tu dan basikal baru. Moga Allah murahkan rezeki kita sekeluarga agar mama dapat belikan hadiah yang Luqman suka.

Ya Allah Ya Tuhanku… Kau jadikanlah anak-anakku sebagai pandangan mata yang membahagiakan di saat aku berdepan dengan kesedihan, jadikanlah mereka sebagai anak-anak yang meningatkan aku padaMu di saat aku lalai dalam kenikmatan…Jadikanlah mereka insan-insan yang Kau pilih untuk menabur kebaikan… Panjangkanlah usia mereka agar aku dapat menumpang kasih dengan mereka hingga akhir hayat aku, bimbinglah mereka agar dapat menjadi penghuni syurgaMu.. Allahumma Aamiin…

Leave a comment