Jangan Sayang Binatang


60_0

Gambar Hiasan. Macam ni la rupa Fifi.

Dulu masa kecil, saya suka bela ikan. Ikan emas menjadi pilihan setiap kali abah bawa ke kedai ikan. Mak tak suka. Mak selalu larang abah beli binatang untuk saya bela. Jangan bagi dia sayang sangat kat binatang,kata mak. Abah belikan jugak akuarium kecil untuk ikan emas yang saya namakan Fifi. Saya letak atas meja study. Balik sekolah Fifi tu la saya jenguk dulu. Sayang sangat. Satu hari, saya pesan dengan abang. “Abang, nanti chek pi sekolah, abang tolong basuh sat akuarium chek.” Air dah kotor sangat dah. Balik dari sekolah dah terbayang akuarium yang bersih, Fifi yang comel kat dalam tu. Masuk je bilik, memang akuarium tu bersih tapi… Fifi dah terlentang kat dalam tu, tak bernyawa! Menangis meraung saya. Marahkan abang. Tapi abang cakap dia tak salah. mungkin terlajak anti chlorin. Saya tak makan, tak cakap dengan sesiapa pun hari tu. Hati ni sakit sangat rindukan Fifi, sayangkan Fifi sepenuh hati. Masa tu mak pujuk, mak cakap kalau sayang binatang macam tu la. Bila kita kehilangan dia, kita akan rasa pedih sangat Sebab binatang tak pernah menyakiti hati kita, selalu baik dengan kita.

tiong-mas

Gambar Hiasan. Ad sama macam ni. Rinduku pada Ad tak pernah padam.

Kegilaan saya bertukar arah kepada burung pula selepas kematian Fifi. Abah belikan burung tiong mas yang pandai bercakap. Kami namakan dia Ad. Ya Allah besar sungguh kuasaMu. Burung tu akan bagi salam kalau orang datang. Pagi pagi dia akan jerit Amir Amirah!!! Amir Amirah!!! Nama abg saya Amir. Adik saya Amirah. Jadi bila mak nak kejut bangun tidur mak akan jerit kat tangga, Amir Amirah!!! Pandai dia meniru. Dia sangat bijak. Hampir 3 tahun bela dia, abah buat bilik untuk dia. Bilik tu abah hubungkan dengan tingkap bilik abah. Setiap pagi dia akan masuk makan buah kat atas katil dan terbang ke tandas untuk mandi shower! Abah buka shower air suam. Seminggu sekali mandikan dengan air basuhan beras untuk elakkan hama. Memang kasih sungguh kami pada dia. Satu malam tu hujan lebat. Abah ada sediakan satu ruang untuk Ad berlindung bila sejuk. Ruang yang diletakkan kain dan ada bumbung. Pagi tu abah buka tingkap, letak betik di atas katil. Tapi Ad tak masuk. Abah cari Ad kat dalam bilik, saya ikut belakang. Tiba-tiba ternampak Ad di satu sudut. Dah keras. Ad mati. Mati sebab sejuk. Kasihan Ad. Abah menyesal sebab tak buka tingkap malam tu bagi Ad masuk bilik. Kali ni sedih saya berbulan bulan. Penyesalan saya hingga sekarang. Saya rindu Ad, rindu yang tak pernah padam. Ad pandai cakap. Tu sebabnya susah nak lupakan dia. Betul la kata mak, jangan sayang binatang, nanti hati pedih sebab terlalu rindu bila kehilangan.

Tahun 2000 Abah memulakan perniagaan lembu susu. Kandang lembu terletak bersebelahan rumah kami. Tapi tak bau busuk langsung. Kandang dibersihkan dan dicuci dua kali sehari. Mula-mula rasa tak biasa setiap malam kena dengar bunyi lembu. Tapi lama kelamaan kami dah biasa. Setelah 14 tahun benda yang tidak biasa telah menjadi kebiasaan, lembu pun makin membiak dan bertambah, Abah buat cadangan nak pindahkan lembu ke tempat yang jauh dari rumah kami. 60KM jauhnya. Abah mendapat tempat dari Kementerian Pertanian. Sedih lagi. Jatuh airmata melihat lembu lembu dipindahkan. Tersedu sedan menahan tangis melihat lembu lembu tu enggan pergi, enggan berganjak dari kandang asal. Ditarik naik lori oleh pekerja-pekerja. Malam tu tak boleh tidur. Malam yang sangat sunyi. Tiada bunyi lembu, tiada bunyi tapak kaki lembu. Rasa tak biasa. Malam yang bantalku penuh dengan air mata.

2012-12-04 16.46.18

Lembu dipindahkan.

2012-12-04 16.46.13

Lembu yang meronta taknak pergi. Binatang pun ada perasaan kan?

2012-12-04 16.45.59

Dua ekor lembu ni macam berpelukan dan menitiskan airmata. ALLAHUAKBAR.

2012-12-04 16.45.22

Binatang sebenarnya mempunyai perasaan cuma dia tidak boleh berkata-kata dan meluahkan perasaannya. Ajaibnya cinta pada binatang, kasih dan rindu kita tak kan pernah padam setelah kehilangan mereka. Kerana mereka tidak boleh bercakap, mereka tak pernah tengking, hina dan melukai hati kita dengan kata-kata kan? Sebab itu kebanyakkan pencinta haiwan seperti kucing, anjing dan sebagainya, cuba perhatikan mereka ni. Mereka ni mempunyai sifat penyayang yang lebih kuat. Jadi kalau Melayu Islam bela anjing sebagai hobi, yang sememangnya kita tahu haram dalam Islam, janganlah kita keji dan hina. Selami perasaan pencinta haiwan dan nasihati mereka agar mengikuti batas batas yang ditetapkan dalam Islam. Mungkin mereka tidak tahu jadi kita sebagai masyarakat haruslah saling menasihati dan mendidik. Bukan menghina dan mengugut pula untuk membunuh mereka. Mungkin kerana terlalu cintakan haiwan yang bernama anjing, beliau terkhilaf menganjurkan aktiviti seperti itu. Niat beliau baik cuma bagi saya tidak kena pada cara. Itu sahaja. Seperti mana pasangan yang terlalu cintakan kekasih sehingga melupakan batas-batas agama dan sanggup melakukan aktiviti tidak bermoral, begitulah juga persamaannya. Kerana terlalu sayang, itulah puncanya. Jangan sayang kekasih sehingga memudaratkan diri dan mengaibkan kehormatan diri, seperti itulah juga jangan sayang binatang sehingga hati remuk redam bak kaca tehempas ke lantai. 😉

One thought on “Jangan Sayang Binatang

  1. Kasihan kamu, pandai menghukum orang Islam haram bela anjing.. Mungkin melayu saja haram bela anjing. Islam sama sekali tidak mengharamkan bela anjing, Harus semata dalan kaedah FIQH ISLAM . tak tahulah fiqh melayu bagaimana

Leave a comment